Kata Chris, promosi harga runtuh tidak perlu dilakukan secara meluas untuk peniaga dalam talian kerana had pembelian dan harga yang sudah berpatutan. – Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Peniaga dalam talian perlu meningkatkan kapasiti logistik mereka dalam kitaran e-dagang dan memastikan barang yang ditempah boleh dihantar kepada pelanggan dengan selamat.
Presiden Dewan Perniagaan Digital Malaysia (DPDM), Chris Daniel Wong berkata, ia asas aspek khidmat pelanggan yang perlu diutamakan selepas peningkatan pesanan akibat ramai yang mula bekerja di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Cadangan saya peniaga perlu banyakkan khidmat pelanggan, kita masih mendapat laporan, ada pelanggan membuat aduan dan tidak berpuas hati kerana barang yan ditempah tidak memenuhi kepuasan hati mereka.
“Jadi untuk kita memperbaiki sektor secara dalam talian ini, selain daripada promosi yang amat hebat, kita lihat promosi mereka ini bukan alang-alang, tetapi dari segi khidmat pelanggan mereka kena perbaiki”
“Jadi dari sini kita boleh bawa industri dalam talian ke peringkat lebih tinggi, itu yang perlu kita perbaiki,” katanya semasa sidang video pada Rabu.
Dalam pada itu katanya, promosi harga runtuh tidak perlu dilakukan secara meluas untuk peniaga dalam talian kerana had pembelian dan harga yang sudah berpatutan.
Ujarnya, penambahbaikan khidmat pelanggan seperti menambah ruang aduan langsung atau interaktif lebih berkesan untuk memastikan pelanggan dapat melihat produk dengan lebih terperinci sekali gus mengelakkan rungutan selepas setiap pembelian.
Sumber: Astro Awani Mei 12, 2021 10:57 MYT